SHARE YA!
Reformasi 5 Minit
Via -duapah.com

Duhai wanita… Ciptaan Yang Maha Berkuasa dengan keunikkan yang tiada bandingan. Kasih sayangmu dapat melembutkan hati yang keras. Kerana keistimewaanmu, Allah menganugerahkan syurga di bawah tapak kakimu.

Namun… adakah kau sedar akan kehebatanmu? Adakah terpikul tanggungjawab yang diamanahkan di bahumu? Dialah Ar-Rahman, Ar-Rahim yang tidak akan membebankanmu dengan sesuatu di luar kemampuanmu.

Duhai wanita… Terimalah dirimu seadanya. Usah mengeluh, usah kecewa dan usah putus asa. Terokailah kehebatan dirimu yang masih belum diusik, yang masih segar, yang masih berpontensi untuk diolah dengan kecerian warna-warna kehidupan. Ayuh wanita, reformasikan dirimu…

Duhai wanita… Hidup hanya sekali, tiada ulangan. Ciptalah sejarah setiap hari serta setiap detik tersirat keajaiban. Hadiahkan dirimu dengan reformasi 5 minit setiap hari yang boleh menceriakan setiap detik dalam kehidupanmu.

Reformasi 5 Minit

• Mulakan setiap pagi dengan puji-pujian untuk-Nya kerana diberi peluang sekali lagi untuk mengorak langkah dan mencipta sejarah.

• Senyumlah kepada dirimu dan lihatlah kecantikkanmu yang unik, begitu menawan lakaran Tuhanmu. Hanya engkau memiliki ciri-ciri yang ada pada dirimu. Ceriakan dirimu sepanjang hari.

• “Reformasi 5 Minit” dengan perubahan atau pembaharuan ke arah yang lebih baik. Setiap pagi hadiahkan 5 minit untuk diri bagi mengenal pasti kehebatan, kebolehan dan kuasa yang terpendam dalam diri untuk menjalani tempoh 24 jam yang dianugerahkan dengan lebih effisen dan positif. Tempoh 5 minit sangat mujarab, jika kau abdikan masa 5 minit untuk dirimu bagi menenangkan diri agar dapat mengawal situasi yang bakal ditempohi sepanjang hari. Hal ini, seperti yang diterangkan oleh Pico Iyer, dalam bukunya, ‘The Art Of Stillness’, karangan yang bertajuk, ’The Joy of Quite’ yang bermaksud kesunyian yang mendamaikan. Apabila seseorang mencapai tahap kedamaian maka mereka dapat mengenalpasti potensi diri masing-masing.

Duhai wanita… Insan yang memikul pelbagai peranan dalam masa 86,400 saat setiap hari. Yang berubah daripada isteri kepada ibu kepada eksekutif, guru, doktor atau ahli korporat, setiap saat perananmu berubah-ubah tanpa berhenti. Ada masa kau tersungkur, ada masa kau menangis, ada masa kau melawan dan ada masa kau kecewa, Ayuh wanita, terimalah dirimu seadanya… Reformasikan dirimu 5 minit setiap hari ketika setiap kali kau berubah peranan, setiap kali kau hampir putus asa, setiap kali kau ditolak ke penghujung dunia. Kuasainya dengan kehebatan yang terpendam dalam dirimu.

Duhai wanita… dunia sekelilingmu mendahagakan perhatianmu. Seperti kata pepatah Inggeris, “…what goes around comes around..”. Jika kasih sayang dan cinta dicurahkan maka positiflah balasannya. Jika kemarahan dan kebencian dilemparkan bersedialah menerima padahnya.

Duhai wanita… kuasa ada padamu, kau mampu mengubah segalanya. Bukankah Allah SWT sudah berfirman,“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya…” (surah Ar-Rad:11). – ViaNUR

KOMEN ANDA!!

Please enter your comment!
Please enter your name here