SHARE YA!
Mendidik Anak
Via -shutterstock.com

Ingin berkongsi kisah yang berlaku dan ditakdirkan disaksikan sendiri. Mungkin hanya kisah kecil dan nampak remeh tetapi boleh memberi kesan cara kita untuk mendidik anak-anak.

Kedua-dua kisah ini melibatkan ibu dan anak serta bapa dan anak. Kisahnya berkisar tentang buah anggur yang dijual di pasaraya. Mungkin kerana anggur senang dipetik dari tempatnya dan mudah untuk terus dinikmati!!

Kisah pertama berlaku di pasaraya Tesco. Seorang ibu muda berjalan di hadapan bersama seorang anak perempuanya, mungkin usianya dalam lingkungan 3-4 tahun. Mengikuti, seorang lagi ibu, juga ibu muda bersama dua anak, satu di atas troli dan seorang anak lelaki, mungkin sebaya dengan anak perempuan tadi.

Ibu pertama membelek-belek anggur dan tidak jadi membeli.

“Ambillah,” kata ibunya dengan perlahan tetapi masih kedengaran. Mungkin melihat wajah anak mengharapkan dapat menikmati anggur. Lantas si ibu tolong mengambil setangkai anggur untuk anak, mungkin dalam 5-6 biji dan di bawa berjalan.

“Nak anggur,” kata anak lelaki ibu kedua juga teringin makan anggur.

“Tak boleh, belum bayar, bukan hak kita,” kata ibu kedua yang benar-benar ditujukan kepada anaknya.

Saya sedang menolak troli berhampiran, sempat melihat jelingan tajam ibu pertama kepada ibu kedua tadi. Rupanya dia mendengar larangan ibu kedua kepada anaknya.

Kisah kedua berlaku di pasaraya Econsave. Tidak melibatkan kata-kata tetapi bagaimana seorang ayah kelihatan bangga ‘mengcekau’ serta menyungah dengan segenggam anggur di tangannya. Anak lelaki di belakang, juga dengan segenggam anggur, menikmatinya sambil berjalan. Kelihatan bangga dengan anggur ‘percuma’.

Aksi ini mungkin menjadi biasa kepada sesetengah orang namun itulah hakikatnya cara kita mendidik anak-anak. Tentunya akan memberi kesan apatah lagi sekiranya berulang dan tidak difikirkan salah lagi oleh anak itu.

Melentur anak biarlah dari rebungnya. Ibu kedua tadi betul dengan tindakan. Sekecil manapun ia tetap bukan menjadi haknya.

Mungkin itulah sebabnya orang-orang tua dulu bisa dengan kata-kata “bapa borek anak rintik”, “bagaimana acuan begitulah kuihnya!!”. – ViaNUR

KOMEN ANDA!!

Please enter your comment!
Please enter your name here